SAFAWI Rasid mengakui tujuannya beralih angin ke kelab Thailand, Ratchaburi FC adalah untuk mendapat sebanyak mungkin minit permainan.
Penyerang kebangsaan itu berkata, tempoh pinjaman ke kelab akan digunakan sebaiknya bagi menambat hati pengurusan kelab itu agar kerap menurunkannya pada setiap perlawanan.
Pemain kelahiran Terengganu itu mendedahkan beliau enggan terus berada di bangku simpanan selepas ini dan mahu menyertai pasukan yang betul-betul mahukan khidmatnya sekembalinya dari pinjaman.
“Sekarang ini umur saya sudah cecah 25 tahun jadi saya perlu minit permainan untuk diri saya, selepas habis tempoh pinjaman dengan Ratchaburi ini saya nak cari pasukan yang betul betul perlukan saya, saya tak nak duduk di bangku simpanan.
“Saya sangat hargai mereka mahu gunakan khidmat saya tetapi apa-apa pun saya mahu fokus bantu skuad kebangsaan untuk Piala AFF terlebih dahulu,” katanya dipetik portal Harimau Malaya.
Semalam, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan bahawa kelab itu akan meminjamkan Safawi serta Moussa Sidibe ke Ratchaburi untuk musim depan.
Dalam pada itu, Safawi teruja untuk bermain di liga tersebut kerana berpendapat bahawa gaya permainan di situ lebih laju dan menerapkan ‘possession football’.
“Ada kelainan antara kedua-dua liga, di sana lebih kepada ‘possession football’ dan permainan lebih laju, tapi kelainan itu tak banyak.
“Saya bukan nak bandingkan liga mana lebih baik tetapi ramai yang katakan termasuk pemain Malaysia yang pernah berada di sana mengenai kelainan liga tersebut,” katanya. -Malaysiapost

