MUNGKIN kelihatan janggal namun itulah yang berlaku hari ini apabila Presiden kedua-dua parti yang ‘bermusuh’ sejak sekian lama, berada bersama dalam satu sidang media.
Kelibat Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berada di sisi Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat disaksikan setelah 24 tahun dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berada di sisi Anwar yang mengadakan sidang media sejurus berakhir Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di bangunan Perdana Putra di Putrajaya.
Turut kelihatan, seorang lagi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhillah Yusof.
Ahmad Zahid yang mengangkat sumpah jawatan Timbalan Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sabtu lalu, melapor diri secara rasmi memulakan tugasnya di pejabat Timbalan Perdana Menteri di Kompleks Perdana Putra pagi tadi.
Selepas melakukan ‘lock-in’ dan beramah mesra dengan kakitangannya, Ahmad Zahid kemudiannya telah mengikuti Mesyuarat Khas pertama Jemaah Kabinet yang dipengerusikan Anwar.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada satu parti memperolehi majoriti mudah 112 kerusi Parlimen.
Susulan itu, Yang di Pertuan Agong memperkenankan Anwar menjadi Perdana Mentero Kerajaan Perpaduan setelah memperolehi sokongan daripada BN, GPS, GRS dan Warisan. – Malaysiapost

