CABUTAN khas nombor ramalan dikurangkan kepada lapan kali setahun berbanding 22 kali ketika ini bermula 1 Januari 2023, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, keputusan tersebut diambil walaupun beliau baru sehari mengetuai Kementerian Kewangan.
“Satu hari saya jadi Menteri Kewangan, saya boleh mengambil keputusan untuk membatalkan keputusan awal tahun ini mengenai cabutan khas perjudian yang dilakukan ketika Jemaah Menteri disertai PAS dan Bersatu untuk meningkatkan cabutan daripada lapan ke 22 kali.
“Pada hari ini saya arahkan ia dikekalkan pada tahap lama, iaitu lapan kali,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri hari ini.
Pada 2021, Kementerian Kewangan sebelum ini mengesahkan memberi izin kepada semua syarikat perjudian untuk melakukan 22 kali cabutan khas sepanjang tahun 2021.
Sebelum itu, cabutan khas berkenaan diadakan 22 kali setahun namun dikurangkan kepada 11 kali pada tahun 2019 dengan dan hanya lapan kali cabutan pada tahun 2020. – Malaysiapost

