BERBEKALKAN pengalaman yang ada, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yakin beliau akan dapat menarik lebih pelaburan bernilai tinggi kepada negara.
Menurutnya, beliau juga tidak sabar untuk bekerja dengan pasukan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Saya tak sabar untuk bekerja di MITI bersama pasukannya.
“Berbekalkan pengalaman saya di MOF (Kementerian Kewangan), sektor korporat dan perbankan, serta semangat dan kepakaran Team MITI, Insya-Allah, kita akan menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi dengan impak langsung kepada rakyat dan perniagaan di Malaysia, seterusnya mengekalkan momentum pemulihan ekonomi negara,” katanya di Facebook.
Dalam hantaran itu, Tengku Zafrul turut berkongsi gambarnya ‘melapor diri’ di pejabat barunya di MITI semalam.
“Selepas angkat sumpah tadi (semalam), saya terus ke pejabat baharu di MITI. Asalnya nak berjumpa dengan Datuk Lokman Hakim, Ketua Setiausaha (KSU) MITI sahaja, tapi beliau beritahu ada majlis sambutan.
“Bila saya sampai, terkejut saya lihat ramai staf MITI yang menyambut, walaupun hari minggu,” katanya yang mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir menyambutnya semalam.
Tengku Zafrul berkata, sambutan baik dan sokongan yang diterimanya itu membuatkan beliau lebih bersemangat untuk mengemudi MITI. – Malaysiapost

