“Rumah sudah siap. Simpanlah tukul dan pahat” – Khairuddin

0
1
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=657284512439398&set=pb.100044735640354.-2207520000.&type=3

SEMUA parti politik diseru mengamalkan budaya politik matang sejahtera dan menghentikan mengeluarkan kenyataan yang kurang berhemah antara satu sama lain.

Perkara itu diingatkan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang berkata, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing setelah berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Maka janganlah bakar jambatan menerusi kata-kata dan tindakan yang kurang berhemah. Inilah masanya mengamalkan kembali Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) yang menjadi sebahagian dasar kepada PAS.

“Rumah sudah siap. Simpanlah tukul dan pahat. Bersama kita hiasi negara ini dengan citra perpaduan dan kebersamaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Perpaduan memikul tugas berat untuk membina negara dan menyatu padukan hubungan rakyat manakala pembangkang mestilah bertindak sebagai pembangkang untuk menambah kebaikan.

“Tahniah kepada jemaah menteri yang dilantik. Di atas bahu mereka terletak tanggungjawab memaknakan ‘Kerajaan Perpaduan’ yang adil untuk semua dan menyatukan semua rakyat berpaksikan Islam, Melayu serta dipayungi Raja-raja Melayu.

“Sebagai kerajaan semua menteri perlu bertindak sebagai kerajaan dan bukan sebagai pembangkang. Kerajaan tugasnya membuat kerja membina negara dan menyatukan rakyat bukannya berpolitik untuk kepentingan sendiri atau parti sahaja.

“Ahli-ahli daripada parti kerajaan sama ada PKR, DAP, Barisan Nasional (BN), Amanah, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh menjadi penyemak dan pengimbang juga bagi memastikan kerajaan perpaduan sentiasa di landasan yang betul.

“Pembangkang pula perlu bertindak secara produktif menjadi pembangkang yang baik. Sokong mana yang baik dan bangkang mana yang silap serta nasihat mana yang memerlukan penambahbaikan,” katanya.

Mohd Khairuddin turut menegaskan kerajaan negeri yang menjadi pembangkang di peringkat persekutuan masih memerlukan Kerajaan Perpaduan yang diterjui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here