PEMUDA Amanah menyambut baik cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat perbelanjaan RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Naib Ketuanya Ammar Atan, berkata RCI penting supaya jawapan yang jelas dan tuntas dapat diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia terutama apabila Parlimen ditutup dan perbelanjaan secara runding terus tanpa semak imbang yang sewajarnya.
“Walaupun pegawai kepada Muhyiddin telah mengeluarkan satu kenyataan untuk mempertahankan bos beliau, namun ia tidak mencukupi dan hanya merupakan satu penafian kosong semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau mendesak supaya kerajaan menyegerakan penubuhan RCI supaya semua pihak mengetahui mengenai peruntukan yang dibelanjakan.
Terdahulu, Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil, menyokong penubuhan segera RCI bagi menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Muhyiddin.
Menurutnya, menerusi RCI, ia dapat membuktikan ke mana wang digunakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan proklamasi darurat sepanjang Muhyiddin menjadi Perdana Menteri. – Malaysiapost

