PENYANYI veteran, Datuk DJ Dave, membuat laporan polis selepas mendapati seorang lelaki menggunakan gambarnya sebagai profil dalam aplikasi WhatsApp untuk meminjam wang.
Sehingga kini, DJ Dave memaklumkan sudah menerima lebih 100 panggilan telefon daripada kenalan yang dikatakan hampir terkena dengan sindiket penipuan terbabit.
“Ada seorang lelaki yang menyamar sebagai saya, menggunakan gambar profil WhatsApp, kononnya untuk meminjam wang dari anda. Harap berhati-hati.
“Saya sudah membuat laporan polis berkenaan isu ini dan mengharapkan kes seperti ini tidak berulang atau berlaku kepada orang lain,” katanya lapor Berita Harian.
Beliau yang juga pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) mengakui terkejut dan dengan tidak menyangka perkara sebegitu terjadi pada dirinya.
“Sebelum ini, saya ada mendengar daripada rakan-rakan mengenai ‘scammer’ ini, tetapi tidak sangka terjadi pada saya.
“Saya terkejut kerana gambar yang digunakan sememangnya gambar profil saya. Jadi, saya terus tukar kepada gambar lain,” katanya.
Dalam pada itu, DJ Dave menasihati kenalan untuk terus menghubunginya sekiranya masih ada yang menerima mesej sedemikian. – Malaysiapost

