Umno kukuh untungkan Kabinet Anwar – Puad

0
1

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kedudukan Umno yang kukuh menguntungkan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pembentukan kabinet baharu itu dibuat berasaskan rundingan, serta saling menghormati terutamanya membabitkan hiraki parti.

“Dengan jumlah 28 menteri iaitu saiz yang agak kecil, semoga semua parti berpuas hati dengan pembahagian yang rumit tetapi melepasi politik tikam belakang.

“Tidak perlu jumlah Kabinet besar dan tidak perlu jawatan jaga hati seperti ‘special envoy’, bertaraf menteri atau menteri kanan. Itu semua kosmetik yang dibuat oleh (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin),” katanya menerusi Facebook.

Jelas Mohd Puad, pembentukan Kabinet Anwar ini jauh berbeza dengan cara Muhyiddin yang didakwa membelakangkan rundingan, tidak menghormati hiraki parti serta berniat melemahkan rakan kongsi.

“Kali ini bila rundingan dibuat fokusnya ialah jangka hayat kerajaan ini mesti sampai habis penggal. Tidak akan ada tekan butang dan tidak ada tukar PM sampai tiga kali.

“Umno yang kukuh menguntungkan Kabinet baru ini. Kerajaan yang stabil menguntungkan rakyat dan negara. Tidak salah kita mencuba pendekatan baru ini walau ada yang was was.

“Walau dimomokkan dengan persepsi ‘kluster mahkamah’ menjadi tanggungjawab kerajaan perpaduan ini membuktikan ia jujur anti rasuah dan bekerjasama atas prinsip ‘trust’,” katanya.

Malam tadi, Anwar mengumumkan mengumumkan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang membabitkan 28 menteri termasuk beliau yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan selain Perdana Menteri.

Sementara, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof masing-masing dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here