‘Kerajaan Rosak’, Kabinet muflis moral – Wan Saiful

0
1

BARISAN Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengejutkan, kata Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Malah, beliau mengelarkan kerajaan pimpinan Anwar itu sebagai ‘Kerajaan Rosak’, yang benar-benar telah muflis moral apabila kluster mahkamah yang selama ini rakus mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa diangkat ke Kabinet.

Beliau berkata, barisan Kabinet berkenaan juga adalah suatu cubaan memperbodohkan rakyat yang telah memberi mesej jelas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu.

“Rakyat mahukan saf kepimpinan politik dan pentadbiran negara yang mendahulukan kepentingan rakyat, mengangkat nilai moral, integriti serta akauntabiliti mengatasi apa jua kepentingan peribadi.

“Sebaliknya, Anwar Ibrahim telah mencampakkan segala nilai moral, prinsip, integriti serta akauntabiliti ke tong sampah demi kuasa dan takhta.

“Ini suatu lagi bukti jelas bahawa Anwar Ibrahim adalah seorang politikus matlamat menghalalkan cara, yang sanggup menggadaikan apa sahaja demi kuasa,” katanya di Facebook mengulas barisan Jemaah Menteri yang diumumkan malam tadi.

Wan Saiful juga menganggap barisan Kabinet berkenaan adalah satu lagi usaha Anwar untuk mensucikan kluster mahkamah, dan beliau semakin bimbang sekiranya kes-kes perbicaraan membabitkan kluster mahkamah akan terganggu.

“Saya kasihankan pengundi yang memilih Pakatan Harapan (PH) kerana terbukti undi PH akhirnya mereka dapat Zahid Hamidi. Mana perginya perjuangan reformasi?

“Saya juga kasihan pengundi Umno-Barisan Nasional kerana segala laungan mereka telah dijual sebegitu murah oleh Zahid Hamidi yang mahu menyelamatkan diri. Adakah Umno masih relevan hari ini?” soalnya.

Menurutnya, hanya Perikatan Nasional (PN) sahaja yang layak bercakap soal prinsip dan moral kerana lebih rela menjadi pembangkang bermaruah daripada mengemis kuasa dan menjilat ludah sendiri hingga menggadaikan prinsip perjuangan.

“Kepada rakyat, Kerajaan Rosak pimpinan Anwar Ibrahim, yang terkandung di dalamnya perasuah, penyamun, kluster mahkamah, serta pendendam kepada penjawat awam, perlu dihukum dengan seberat-berat hukuman dengan menolak calon PH-BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dan Parlimen Padang Serai pada 7 Disember ini.

“Ketika PH-BN muflis moral, PN adalah satu-satunya wadah serta harapan buat rakyat Malaysia. PN mengangkat, memperjuang dan menjunjung tinggi imej serta ketrampilan politik baru yang bersih, stabil, segar serta berintegriti demi menghasilkan Malaysia yang makmur dan sejahtera untuk semua.

“Ayuh pengundi DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai, demi negara jangan sia-siakan peluang ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here