NAIB Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan barisan kabinet yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecewakan kerana turut melantik pemimpin yang mempunyai kes mahkamah.
Beliau berkata, kebanyakan rakyat meluahkan rasa kecewa apabila pemimpin berkenaan masih dilantik memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan.
“Rakyat sangat terkejut kerana keadaan sebegini berlaku di saat rakyat Malaysia memerlukan sebuah reform (pembaharuan) politik, reform pentadbiran dan reform kerajaan yang berada pada tahap yang paling baik.
“Tetapi, nampaknya kita ke belakang dengan melihat komposisi Kabinet yang ada ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Kesyukuran sempena Pilihan Raya Umum ke-15(PRU15) di Kuala Terengganu, hari ini.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, barisan kabinet baharu tersebut tidak memberi kesan besar terhadap aspek pembangunan dan keperluan rakyat di negeri itu.
“InsyaAllah, saya percaya tidak ada kesan yang besar kepada kerajaan negeri Terengganu dan kita (kerajaan negeri) akan sentiasa berjuang bersama dengan rakyat.
“Kita mengambil sikap menghormati apa yang telah dinyatakan dalam perlembagaan yang telah membuat pembahagian kuasa di antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat,” ujarnya.
Semalam, Anwar mengumumkan mengumumkan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang membabitkan 28 menteri termasuk beliau yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan selain Perdana Menteri.
Anwar turut mengumumkan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri I yang turut memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Turut dilantik Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Perladangan Dan Komoditi. – Malaysiapost

