Amanah pertahan Anwar pegang jawatan Menteri Kewangan

0
2

AMANAH mempertahan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Kewangan kerana mahu memantau ketirisan yang bermula dari kementerian tersebut.

Pengerusi Kanun Amanah, Dr Zulqarnain Lukman, berkata perbelanjaan besar di setiap kementerian mesti mendapat kelulusan Kementerian Kewangan (MOF).

“MOF ini adalah gedung perbendaharaan dan jika Anwar sudah bagi komitmen untuk melaksanakan tender terbuka maka MOF mesti berperanan. Anwar tahu hal itu kerana Anwar pernah menjadi Menteri Kewangan.

“Mungkin ada yang berhujah bahawa lebih baik seorang Perdana Menteri tidak menjadi Menteri Kewangan atas alasan bahawa untuk mewujudkan mekanisme semak dan imbang.

“Orang yang tidak puas hati dengan Menteri Kewangan kemudiannya boleh mengadu kepada Perdana Menteri. Tidak salah untuk berhujah sedemikian namun dalam keadaan komitmen Anwar untuk melakukan tatakelola yang baik maka kegusaran salah guna kuasa itu boleh dihindarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulqarnain berkata, dalam menghadapi saat ekonomi yang sukar tahun 2023, Anwar tiada pilihan kecuali bergerak secepat mungkin mengejar masa.

Katanya, sebagai Perdana Menteri Anwar perlu tahu semua urusan yang dibuat setiap kementerian dan memerlukan keputusan segera.

Beliau berkata, maka jika Anwar berada di MOF isu kelambatan membuat keputusan boleh diatasi.

Sementara itu, Zulqarnain berkata Anwar sedar Timbalan Perdana Menteri adalah ‘kluster mahkamah’ maka keberadaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam MOF untuk mengurus persepsi rakyat.

Mengulas mengenai era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turut memegang jawatan Menteri Kewangan dan terpalit dengan jenayah penyelengan wang, Zulqarnain menegaskan karekter Anwar berbeza dengan Najib.

“Anwar sudah tolak gaji. Anwar juga pesan kepada pegawai supaya tidak sediakan cenderamata apabila beliau pergi turun padang ke program kementerian. Anwar juga tolak untuk gunakan Mercedes S600,” ujarnya.

Semalam, Anwar mengumumkan mengumumkan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang membabitkan 28 menteri termasuk beliau yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan selain Perdana Menteri.

Beliau juga mengumumkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang masing-masing turut memegang portfolio kementerian lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here