Zahid ‘hampir pasti’ jadi TPM

0
1

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ‘hampir pasti’ turut berada dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Perkara tersebut dinyatakan sumber dalaman Umno, yang memaklumkan pencalonan Ahmad Zahid itu selaras dengan kedudukannya selaku Presiden Umno.

“Hampir pasti Presiden Umno Timbalan Perdana Menteri, itu saja saya boleh cakap insya-Allah,” kata sumber itu, hari ini.

Bagaimanapun, sumber berkenaan tidak memperincikan kementerian yang bakal diterajui oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Ahmad Zahid yang sebelum ini pernah bergelar TPM era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak itu, disebut-sebut sebagai calon jawatan tersebut yang dikhususkan kepada Barisan Nasional (BN) selaku parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

Sebelum ini juga, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Mohd Razlan Rafii berpendapat bahawa Ahmad Zahid paling layak memegang jawatan TPM bagi menstabilkan kerajaan.

Semalam, Tan Sri Annuar Musa yang juga bekas Setiausaha Agung Umno, berkata jawatan dalam Kabinet harus mengikut hiraki parti.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh memandang enteng sokongan Umno sebagai parti gabungan dalam kerajaan yang diterajuinya.

Sementara itu, menurut sumber yang rapat dengan Ahmad Zahid turut mengesahkan Pengerusi BN itu dicadangkan sebagai TPM.

“Ya, nama presiden dicadangkan sebagai timbalan perdana menteri,” katanya ringkas menerusi pesanan WhatsApp.

Ujar sumber itu lagi, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan turut disenaraikan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga disebut bakal membarisi Kabinet diterajui Anwar.

Turut dinyatakan, BN akan mendapat lima jawatan menteri dan enam timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here