DATUK Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau akan mengumumkan barisan Jemaah Menteri kerajaan perpaduan pimpinannya lewat petang ini.
Perdana Menteri berkata beliau telah mempersembahkan senarai anggota Kabinet kepada Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.
Beliau juga memberi jaminan tidak akan melantik terlalu ramai anggota Jemaah Menteri, begitu juga duta bertaraf menteri seperti kerajaan terdahulu.
“Kita tak mahu berlaku pembaziran,” katanya ketika berucap pada majlis kenduri rakyat di Tambun hari ini.
Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, beliau akan memanggil mesyuarat bersama anggota Jemaah Menteri yang baharu pada Isnin ini.
Menurutnya, beliau memperincikan cara bekerja setiap menteri yang berkenaan bagi memastikan wang rakyat dapat dijimatkan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, dalam keadaan beliau sepatutnya berada di Putrajaya hari ini sebagai persediaan mengumumkan senarai anggota Kabinet.
Namun beliau memilih untuk tetap turun ke Parlimen Tambun yang diwakilinya kerana mahu berterima kasih kepada penduduk kawasan itu yang mengundinya pada PRU15 lalu. – Malaysiapost

