Pengundian awal di Padang Serai, Tioman esok

0
2

ANGGOTA keselamatan dan pasangan mereka akan menunaikan tanggungjawab pada pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang esok.

Satu pusat pengundian awal melibatkan dua tempat mengundi atau saluran awal akan dibuka pada jam 8 pagi bagi Parlimen Padang Serai, manakala dua pusat pengundian awal dengan dua saluran digunakan untuk DUN Tioman.

Berdasarkan senarai Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi kedua-dua pilihan raya itu, terdapat 76 anggota polis bagi Parlimen Padang Serai manakala 262 anggota polis di DUN Tioman, lapor Bernama.

Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) menyarankan semua pihak yang hadir ke pusat mengundi esok agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perlindungan diri, dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta sentiasa mensanitasi tangan.

SPR sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan kepada 7 Disember ini berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH), M Karupaiya pada 16 November lalu.

Pengundian DUN Tioman pula ditangguh susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli pada jam 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu, dipercayai akibat serangan jantung.

Proses penamaan calon bagi Parlimen dan DUN tersebut berlangsung pada 24 November lalu diikuti pengundian awal esok dan 7 Disember ditetapkan sebagai hari pengundian.

Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak; Datuk Azman Nasrudin (PN-Bersatu), Datuk C Sivaraj (BN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang-Putra), Sreanandha Rao (bebas) dan Mohd Bakhri Hashim (Warisan).

Warisan kemudian mengumumkan tidak mengambil bahagian, namun logo parti ti masih tersenarai dalam kertas undi kerana sudah didaftarkan sebagai antara parti yang bertanding.

DUN Tioman pula melibatkan saingan lima penjuru antara calon PN, Nor Idayu Hashim, Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (bebas).

Walaupun calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly mengumumkan menarik diri, logo PH masih tersenarai dalam kertas undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here