KERAJAAN Perpaduan Malaysia dianggotai keseluruhan 28 Jemaah Menteri membabitkan kepimpinan tiga parti gabungan utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan barisan Kabinet itu malam ini, turut memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan.
Beliau juga mengumumkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri yang masing-masing turut memegang portfolio lain.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik Timbalan Perdana Menteri, yang memegang jawatan sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Seorang lagi Timbalan Perdana Menteri yang dilantik adalah Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut memegang jawatan sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.
Anwar dalam pengumuman itu berkata, kekuatan Kerajaan Perpaduan dalam Parlimen sudah mencecah dua pertiga.
“Jemaah Menteri ini adalah Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan. Maka ada beberapa prinsip yang diterima pakai untuk merangkul semua kekuatan induk dan dokongan berikutnya.
“Kekuatan induk itu adalah PH yang mencatat jumlah undi terbanyak dan Ahli Parlimen terbesar. Diikuti oleh BN yang memilih untuk bersama dan GPS.
“Ketiga-tiga tunggak ini sudah sepakat bukan sahaja dalam membentuk Jemaah Menteri tetapi menetapkan beberapa dasar utama tata kelola yang baik dan juga keutamaan memacu pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan beban rakyat dari sudut kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata, kesepakatan itu kemudian dilebarkan kepada parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selain dari parti Warisan dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang sedia ada.
“Ini bermakna kekuatan kerajaan perpaduan dalam Parlimen sudah mencecah dua pertiga.
“Jadi dengan mandat ini ia telah memberi keyakinan untuk membentuk barisan Jemaah Menteri yang lebih padu dan akan bekerja sebagai satu pasukan dan menumpukan perhatian dalam soal pemacuan pertumbuhan ekonomi yang segar dan menumpukan kepada permasalahan rakyat,” katanya.
Senarai barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan Malaysia adalah seperti berikut:
- Datuk Seri Anwar Ibrahim – Perdana Menteri / Menteri Kewangan.
- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi – Timbalan Perdana Menteri / Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
- Datuk Seri Fadillah Yusof – Timbalan Perdana Menteri / Menteri Perladangan dan Komoditi.
- Anthony Loke Siew Fook – Menteri Pengangkutan
- Mohamad Sabu – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan
- Datuk Seri Mohamad Hasan – Menteri Pertahanan
- Rafizi Ramli – Menteri Ekonomi
- Nga Kor Ming – Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan.
- Datuk Seri Alexander Nanta Linggi – Menteri Kerja Raya
- Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail – Menteri Dalam Negeri
- Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
- Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin – Menteri Pendidikan Tinggi
- Chang Lih Kang – Menteri Sains dan Teknologi
- Datuk Seri Nancy Shukri – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
- Datuk Seri Salahuddin Ayub – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
- Datuk Seri Azalina Othman Said – Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi
- Nik Nazmi Nik Ahmad – Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim
- Datuk Ewon Benedik – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi
- Datuk Seri Zambry Abd Kadir – Menteri Luar Negeri
- Datuk Seri Tiong King Sing – Menteri Pelancongan
- Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil – Menteri Komunikasi Digital
- Fadhlina Sidek – Menteri Pendidikan
- Datuk Aaron Ago anak Dagang – Menteri Perpaduan Negara
- Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar – Menteri Agama
- Hannah Yeoh – Menteri Belia dan Sukan
- V N Sivakumar – Menteri Sumber Manusia
- Dr Zaliha Mustafa – Menteri Kesihatan
- Datuk Armizan Mohd Ali – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) – Malaysiapost

