VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad, mendakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya yang menjadi punca integriti badan kehakiman negara dipersoalkan.
Menurutnya, ketika menerajui negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Dr Mahathir tidak mempedulikan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
“Pelantikan ahli JAC oleh Perdana Menteri (PM) bukan masalahnya. Maaf ye.
“Masalahnya ialah apabila Dr Mahathir selaku PM tidak langsung kisah tentang JAC. Malah terus menyembahkan nama-nama mereka yang tidak pun diputuskan oleh JAC,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, ia bermakna dalam soal pelantikan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim tinggi semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi Kerajaan, Dr Mahathir telah melanggar undang-undang dan demikian menyalahguna kuasanya.
“Ini telah diceritakan oleh Tan Sri Tommy Thomas (bekas Peguam Negara) dalam bukunya itu.
“Bukankah soal pelantikan ahli JAC ini hanya hendak mengalihkan perhatian daripada masalah sebenarnya?” soalnya.
Semalam, Tuanku Muhriz yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260, bertitah mencadangkan pelantikan lima daripada sembilan ahli JAC tidak lagi dilakukan Perdana Menteri.
Sebaliknya, titah baginda, pelantikan itu diberi kepada beberapa institusi lain, seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.
Sementara itu dalam satu lagi hantaran, beliau turut mempersoalkan tentang ramai pemimpin PH yang tidak bersuara tentang pendakwaan terpilih yang berlaku semasa PH berkuasa selepas PRU-14.
“Termasuklah rakan seperjuangan PH, iaitu Majlis Peguam. Dan peguam-peguam DAP yang selalu bersyarah pasal ‘Rule of Law’ – kedaulatan undang-undang.
“Rafizi? Hanya sibuk dengan audit forensiknya. Nurul Izzah? Agak tak macam fokus sangat.
“Pendakwaan Terpilih ialah penyalahan guna kuasa. Ia juga tindakan tidak berintegriti. Setaraf dengan rasuah,” tegasnya.
Shahrir turut memuatnaik video kenyataan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ada menegur tentang pendakwaan terpilih oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Tapi, itu sebelum jadi PM. Sebelum berkuasa. Apa puncanya pendakwaan terpilih? Tak boleh membetulkannya pun takpa. Jangan ulangi perbuatan itu,” katanya. – Malaysiapost

