Johor beri bonus sebulan gaji, mininum RM1,000

0
1

KERAJAAN Johor mengumumkan pemberian bonus sebulan gaji atau sekurang-kurangnya RM1,000 kepada kira-kira 13,400 penjawat awam di negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pemberian bonus tersebut sebagai menghargai jasa penjawat awam yang telah menggerakkan pentadbiran kerajaan negeri sepanjang tahun ini.

Katanya, bonus berkenaan akan turut diterima penjawat awam agensi Kerajaan Pusat yang dibayar negeri, guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa), petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) serta guru Tadika Islam Johor (TAJ).

“Kerajaan negeri amat menghargai sumbangan penjawat awam dalam menjayakan dasar-dasar kerajaan. Mereka bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan rakyat mendapat manfaat yang maksimum daripada dasar-dasar kerajaan.

“Sehubungan dengan itu, sebagai tanda penghargaan dan terima kasih, saya dengan ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak satu bulan gaji atau minimum RM1,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023 di Kota Iskandar, Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, pemberian bonus berkenaan akan dibuat secara dua kali, iaitu pada akhir bulan ini dan sebelum sambutan Aidilfitri tahun depan.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here