19 nelayan ditahan, disyaki positif dadah

0
1

SERAMAI 19 individu dari komuniti nelayan ditahan kerana dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah semalam.

Mereka ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Kota Setar dan Pokok Sena.

Operasi Bersepadu bermula jam 10 pagi semalam bertujuan membanteras aktiviti penagihan dadah dalam kalangan komuniti nelayan sekitar perairan Kuala Kedah.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd Nadzir berkata operasi melibatkan 60 pegawai dan anggota dari kedua-dua agensi.

Dalam operasi itu, katanya, pasukan operasi melakukan serbuan di jeti-jeti bot sekitar muara Kuala Kedah serta pemeriksaan secara rawak ke atas bot nelayan tempatan di sekitar muara.

“Hasil operasi ini, seramai 19 orang ditahan dan didapati positif dadah jenis Methaphetamine.

“Sebuah bot nelayan tempatan Kelas B turut ditahan atas kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berumur 25 hingga 50 tahun dan diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan.

Zool Hilmi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara. – Malaysiapost

Kredit foto: Agensi Maritim Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here