Tunggakan bil air Kelantan berjumlah RM28.5 juta

0
1
Penduduk-penduduk mengambil air yang dibekalkan oleh Air Selangor di Pusat Khidmat Setempat berdekatan Padang Bola Hospital Kuala Lumpur hari ini.

SYARIKAT Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) merekodkan sebanyak RM28.5 juta tunggakan bayaran bil air di negeri itu sehingga 30 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor berkata, tunggakan paling tinggi melibatkan pengguna domestik iaitu sebanyak RM18.4 juta.

Katanya, kutipan atau bayaran yang perlahan daripada pengguna ketika ini disebabkan mereka masih berada dalam peringkat pemulihan pasca Covid-19.

“Tunggakan bil pengguna aktif AKSB adalah RM28.5 juta sehingga 30 September lalu.

“Jumlah itu berkurangan berbanding 31 Disember tahun lalu yang mencatatkan sebanyak RM33.2 juta bil air tertunggak,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) yang ingin mengetahui jumlah tunggakan bil pengguna AKSB dan penyebab kepada tunggakan tersebut.

Bagi meningkatkan hasil kutipan, Azami berkata, AKSB telah menjalankan aktiviti penguatkuasaan kutipan secara berterusan di setiap daerah terutamanya yang tiada masalah bekalan air bersih pada tahun ini.

Katanya, AKSB juga menyediakan pelbagai medium bayaran kepada pengguna termasuk melalui bank dan ejen kutipan.

Menjawab soalan tambahan Hilmi Abdullah (Pas-Guchil) yang ingin tahu sama ada kerajaan mahu memberi bekalan air percuma kepada asnaf di Kelantan, Azami berkata pihaknya sentiasa membantu penduduk yang memerlukan.

“Kita telah menyediakan 30 lori khas untuk mengagihkan bekalan air percuma kepada asnaf di semua kawasan sejak April 2020 hingga Julai tahun ini.

“Kos bagi kerja-kerja itu berjumlah RM11.5 juta dan ia merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial kerajaan negeri kepada rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here