MCA mendakwa pihaknya dimaklumkan oleh pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) bahawa parti komponen BN itu perlu bersama Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan baharu.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata ia berdasarkan kepada keputusan yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu ‘No DAP & No Anwar’.
“Situasi sama turut berlaku kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS). Laporan berita juga banyak menyiarkan mengenai sokongan GPS kepada PN selepas mereka dimaklumkan bahawa BN bersetuju menyokong PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun Hang Soon tidak menamakan pemimpin kanan BN berkenaan. Kenyataan itu dikeluarkan MCA bagi menjawab dakwaan bahawa parti itu menyokong PN-PAS.
Katanya, Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang pertama kali diadakan selepas PRU15 pula memutuskan BN berkecuali dan kekal sebagai pembangkang.
“Dalam mesyuarat itu, Presiden MCA (Datuk Seri Dr Wee Ka Siong) telah mencadangkan kepada mana-mana pihak yang telah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong mana-mana pihak hendaklah menarik balik serta-merta.
“Ekoran daripada itu, BN telah mengarahkan semua Ahli Parlimen BN supaya menarik balik SD sokongan tersebut,” katanya.
Semalam, sebuah portal melaporkan 10 Ahli Parlimen BN itu mendakwa mereka terpedaya untuk menyokong PN oleh seorang pemimpin kanan Umno .
Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menyaksikan Parlimen tergantung, apabila tiada satu pun parti emmperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan negeri.
Susulan itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). – Malaysiapost

