IBU baru bersalin bersama bayinya berusia empat hari antara 102 mangsa banjir ditempatkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Dengkil selepas rumah mereka dinaiki air susulan hujan lebat, petang semalam.
Dua PPS itu masing-masing di Dewan Taman Gemilang menempatkan 62 mangsa dari 16 keluarga manakala 40 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Dengkil, lapor Utusan Malaysia.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kesemua mangsa yang terlibat di kedua-dua PPS adalah dari Kampung Ampar Tenang dan Sri Tanjung.
Menurutnya, ibu bersama bayi berusia empat hari itu ditempatkan di Dewan Taman Gemilang.
“Buat masa ini, Dewan Taman Gemilang sudah penuh dan baki mangsa banjir terpaksa dibawa ke Dewan Orang Ramai Dengkil,” katanya hari ini.
Dalam kejadian petang semalam, beberapa lokasi sekitar Dengkil dan Kota Warisan di Sepang digenangi banjir menyebabkan puluhan rumah ditenggelami air selain menenggelamkan hampir separuh kereta penduduk.
Kawasan teruk terjejas termasuk Sekolah Kebangsaan Dengkil, Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil dan Kampung Ampar Tenang. – Malaysiapost

