BN,PH berkongsi pentas di PRU-15 DUN Tioman

0
1

BUAT julung kalinya, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berkongsi pentas dalam ceramah umum sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang, malam ini.

Kerjasama itu membabitkan beberapa kepimpinan kedua-dua gabungan berkenaan iaitu Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shaari dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Turut sama berkongsi pentas terbabit adalah Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Sebelum PRU-15 pada 19 November lalu, BN dan PH disifatkan sebagai musuh ketat serta tidak pernah berkempen di pentas sama, namun mereka kini bersama selepas pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan dan negeri Pahang.

Ceramah secara bersama itu diadakan selepas PH mengambil keputusan memberi laluan kepada calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain dalam pemilihan pada PRU-15 DUN Tioman pada 7 Disember ini.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang ketika berucap, menjelaskan keputusan pembentukan kerajaan negeri Pahang antara BN dan PH dibuat bukan oleh dirinya sendirian.

“Keputusan BN buat untuk bersama PH, bukan keputusan saya seorang. Saya bawa dalam perbincangan dengan semua rakan-rakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), saya bawa dalam Perhubungan negeri dan kami bersetuju sebulat suara,” katanya.

Menurutnya, PH ketika itu menawarkan kerjasama tanpa syarat, manakala PN pula menawarkannya sebagai senator dengan jawatan menteri penuh sebagai ganti jawatan Menteri Besar yang dipersetujui Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Amirudin menzahirkan rasa gembira dengan semangat muafakat dan perpaduan yang ditonjolkan hari ini yang sesuai dengan lembaran baru di Pahang membabitkan kerajaan BN bersama PH yang baru ditubuhkan.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor, berkata di peringkat persekutuan juga terpatri satu lembaran baru di Malaysia membabitkan gabungan PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Bebas.

“Kita nak lihat agar nasib rakyat Pahang keseluruhannya terpelihara dan lebih baik pula negeri Pahang ini selari dengan apa yang tergabung dan terbentuk di peringkat persekutuan,” katanya.

Mohamad pula dalam ucapannya, berkata dalam politik semua boleh berubah termasuk kawan atau lawan, namun tidak boleh berubah matlamat dan dasar.

“Negara kita masyarakat majmuk..tersalah langkah terjerumus kepada bahaya, sebab itu kita kena tubuhkan kerajaan bersama PH, BN dan lain-lain untuk melawan fahaman-fahaman yang boleh merosakkan Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here