PN berada ditempat paling baik untuk menggantikan BN sekarang ini – Wan Saiful

0
2

PERIKATAN Nasional (PN) wajib berasa bangga dengan pencapaian Pilihan Raya Umum ke-15 PRU-15 (PRU-15), kerana mencatatkan kemenangan luar jangkaan dan berjaya mewujudkan gelombang kebangkitan generasi baru.

Ketua Penerangannya Datuk Wan Saiful Wan Jan, secara peribadi berpendapat keputusan dicapai PN itu jelas menunjukkan generasi baru membuat pilihan dalam PRU-15 berdasarkan garis moral dan integriti yang melambangkan masa depan yang baik untuk negara.

“Saya lebih suka menggunakan perkataan “generasi baru” berbanding “anak muda”. Pendaftaran pengundi secara automatik menghasilkan jutaan pengundi baru yang bukan dari golongan muda sahaja. Bagi saya, generasi baru ini merangkumi anak muda dan juga mereka yang lebih berumur yang baru boleh mengundi kali ini.

“Generasi baru ini lah yang menghasilkan gelombang untuk memberikan PN bilangan kerusi yang banyak. Saya sendiri menyaksikan betapa generasi baru ini berbondong-bondong menyokong PN sehingga saya mencatat majoriti yang besar di Parlimen Tasek Gelugor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, generasi baru negara mahukan politik baru yang segar, bersih dan berintegriti dengan memberi keyakinan kepada PN untuk memperjuangkan dan menjayakan agenda itu.

Wan Saiful bagaimanapun mengingatkan, semua ahli PN supaya jangan berasa selesa dengan pencapaian diperoleh dan mesti menerima hakikat bahawa masih ada ruang yang boleh diperbaiki.

Beliau berpendapat ada enam ruang penting yang perlu diberi perhatian segera oleh PN iaitu pertama, fikrah perjuangan PN perlu diwar-warkan lagi sehingga rakyat sentiasa ingat bahawa hanya agenda prihatin, bersih dan stabil yang dijuarai oleh PN sahaja boleh menghasilkan Malaysia yang makmur dan sejahtera untuk semua.

“Kedua, ukhuwah dan kemesraan sesama parti komponen perlu diperkukuh. Ketiga, ketrampilan peribadi tokoh-tokoh yang memimpin PN perlu dipindahkan menjadi ketrampilan kelompok yang merangkumi keseluruhan parti agar tiada “hero worship” seperti yang wujud dalam parti lain.

“Keempat, parti-parti komponen PN perlu memperbanyak ruang perkongsian kepakaran dan membina kemampuan jentera secara bersama. Kelima, pemimpin-pemimpin generasi baru, termasuk golongan muda dan profesional, perlu diangkat menerajui PN.

“Keenam, PN perlu bekerja lebih kuat untuk meyakinkan pengundi bukan Melayu dan Melayu bandar, negara ini adalah milik semua dan PN mesti menjadi parti untuk semua lapisan rakyat,” katanya.

Beliau mendakwa, selepas PRU-15, rakyat sudah nampak betapa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) rosak dan hilang arah tuju hingga perasuah, penyamun, kluster mahkamah, dan pendendam kepada penjawat awam sudah berkumpul dalam satu kelompok.

“Sebaliknya PN berada ditempat paling baik untuk menggantikan BN sekarang ini, dan apabila kita berjaya meraih kepercayaan kaum bukan Melayu dan Melayu bandar, kita juga boleh menggantikan PH. Rakyat sudah nampak ketegasan kita dalam memperjuangkan prinsip. Hanya kita yang layak bercakap mengenai prinsip pada hari ini.

“PRU-15 juga melambangkan kemunculan satu paksi baru dalam politik negara yang mengambil integriti dan semangat Islami sebagai tunjangnya. PN adalah tunjang utama paksi baru ini, dan kita perlu terjemahkannya menjadi paksi yang mencakupi rakyat berbilang kaum dan segenap lapisan umur,” katanya.

Menurutnya, generasi baru mahukan Malaysia yang benar-benar baru dengan saf kepimpinan politik yang mendahulukan rakyat dan berprinsip.

“PN mesti menggalas amanah tersebut dan memperjuangkan sebuah Malaysia baru yang makmur dan sejahtera untuk semua tanpa mengira agama dan bangsa. Ini hari kita. Ini era kita. Demi negara, jangan sia-siakan peluang ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here