AHLI Parlimen Baling, Hassan Saad, diberi masa tiga hari supaya menarik balik dengan serta-merta kenyataan dan audio fitnah mengaitkan pelantikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pengaruh Israel.
Tuntutan itu dibuat Anwar melalui firma guaman SN Nair & Partners hari ini, yang turut menuntut Hassan membuat permohonan maaf tanpa syarat serta disiarkan dalam akhbar dan media pilihannya.
Memetik laporan Berita Harian, Hassan juga diminta mengemukakan aku janji bertulis untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan dan komen seperti dalam perkataan serta audio memfitnah berkenaan.
Menurut surat tuntutan ditandatangani peguam SN Nair, jika Hassan gagal berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan, Anwar akan memohon perintah injuksi dan memfailkan saman dengan menuntut ganti rugi pampasan.
Ia menyatakan perkataan dan audio fitnah itu dikaitkan kepada Hassan melalui audio dan gambar latar belakang yang mana Hassan tidak pernah menafikan perkaitan dengan dirinya walaupun selepas ia ditularkan di Twitter serta aplikasi media sosial.
“Oleh itu, anak guam kami menganggap YB (Hassan) yang menyebabkan diterbitkan (perkataan dan audio fitnah) atau diterbitkan semula.
“Jika YB menafikan perkataan dan audio fitnah itu, kami diarahkan oleh anak guam untuk menuntut pengesahan umum dan secara bertulis bahawa YB tidak mengungkapkan perkataan itu atau menyebabkan ia diterbitkan semula,” kata surat itu.
Menurut surat tuntutan itu, Anwar menyatakan pada 27 November lalu, Hassan menerbitkan atau menyebabkan penerbitan satu hantaran audio di aplikasi Twitter di bawah nama Mohd Ropi Mat Sin.
Audio itu juga dipetik pengguna Twitter di bawah nama ‘Pemikir Malaysia’ yang mendapat tontonan melebihi 431,500 kali dan reaksi ‘like’ melebihi 4,800 kali. – Malaysiapost

