152 ‘bookie’ judi Piala Dunia 2022 ditahan

0
2

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Soga lX bermula 19 November hingga semalam dalam usaha mengekang aktiviti perjudian dan pertaruhan yang membabitkan kejohanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022.

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata fokus utama operasi khas berkenaan adalah membanteras kegiatan catit taruh tanpa lesen dan memberkas ‘bookie’ sepanjang kejohanan berkenaan.

Menurutnya, sepanjang operasi berkenaan dijalankan di seluruh Malaysia, sebanyak 129 serbuan dilakukan membabitkan 152 tangkapan dan pelbagai rampasan termasuk wang tunai.

“Selangor mencatatkan tangkapan tertinggi membabitkan 38 suspek melalui 36 serbuan, diikuti Johor seramai 29 tangkapan dalam 29 serbuan, manakala Pulau Pinang mencatatkan 18 tangkapan daripada 10 serbuan.

“Negeri lain pula membabitkan tangkapan seramai, Sarawak (15), Kedah (12), Negeri Sembilan (11), Kuala Lumpur (tujuh), Pahang (enam), Sabah (enam), Melaka (empat), Perak (tiga), Kelantan (dua), Terengganu (satu) dan tiada tangkapan di Perlis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati had kredit dalam perisian pertaruhan mencecah RM3.177 juta dan kesemua suspek kini direman bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3), Seksyen 6 (1), Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menganjur dan menjalankan pertaruhan mengikut undang-undang sedia ada.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perjudian boleh menyalurkannya melalui Hotline WhatsApp Op Soga lX di talian 016-5773477,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here