CEUPACS seru utamakan penjawat awam, elak lantikan politik

0
1
PN BBC Portal. Cuepacs

KERAJAAN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan mengutamakan penjawat awam dalam lantikan politik bagi mengisi jawatan-jawatan utama dalam perkhidmatan awam.

Presiden CEUPACS, Datuk Adnan Mat berkata, Perdana Menteri dan barisan Menteri Kabinetnya harus mengelak pelantikan berunsur politik sekali gus mengelak berlaku ketidakupayaan pegawai berkenaan dalam perkhidmatan awam.

“CUEPACS berharap Perdana Menteri serta barisan Menteri yang bakal dilantik memberi keutamaan kepada penjawat awam yang berkebolehan dan kompeten sahaja untuk mengisi jawatan utama dalam perkhidmatan awam.

“Campur tangan politik dalam urusan pelantikan juga harus dielakkan bagi membolehkan mereka yang dilantik benar-benar membantu dan dapat memberi nasihat yang terbaik kepada jemaah menteri.

“Perkhidmatan awam sendiri ketika ini mempunyai pegawai yang berkelayakan dalam pelbagai bidang dan seharusnya diberi peluang mengikut pengalaman serta kompentensi masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya, CEUPACS berharap tiada lantikan yang melibatkan unsur ‘favouritism’ dalam perkhidmatan awam.

“Lantikan daripada luar sudah tentu menyebabkan pembangunan kerjaya dalam perkhidmatan awam akan lebih sempit.

“Unsur-unsur favouritism juga hendaklah dielakkan terutama dalam hal lantikan jawatan tertinggi kerana ia boleh menjejaskan operasi perkhidnatan awam sekiranya mereka yang dilantik itu tidak kompeten.

“Pegawai yang dilantik hanya disebabkan “kegemaran” ahli politik tertentu dibimbangi tidak boleh melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan terutama dalam memberi nasihat terbaik kepada menteri berkenaan,” katanya.

Pada dasarnya, Adnan menjelaskan, CUEPACS tidak mempunyai masalah bagi lantikan politik yang mempunyai kelayakan.

Namun, bagi memastikan kelancaran sesuatu jabatan dapat diteruskan sekiranya terjadi peralihan kerajaan, adalah lebih baik lantikan dibuat dalam kalangan anggota penjawat awam sahaja.

Katanya, unsur favouritism dan lantikan politik harus diketepikan kerana ia boleh mengganggu keharmonian dalam perkhidmatan awam itu sendiri.

“Mereka yang dilantik berdasarkan politik akan meletak jawatan atau dipaksa melepaskan jawatan apabila suatu kerajaan itu berubah.

“Ini boleh menjejaskan perkhidmatan kerajaan dan menimbulkan persepsi kurang baik terhadap perkhidmatan kerajaan sedia ada.

“Dalam hal ini keutamaan harus diberikan kepada pegawai-pegawai dalam perkhidmatan awam yang layak daripada segi pengalaman dan kompetensi dalam bidang masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here