Selamatkan Kerajaan Perpaduan dulu, tidak perlu usul percaya – Zaid Ibrahim

0
1

TIADA keperluan mengemukakan usul undi percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat khas bulan depan bagi membuktikan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyarankan supaya Kerajaan Perpaduan yang baharu dibentuk diselamatkan terlebih dulu sebelum menerima usul percaya.

Menurutnya, beliau sependapat dengan cadangan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh bahawa tiada keperluan bagi mengemukakan usul itu.

“Saya selalunya tidak berapa gemar kepada Ramkarpal Singh, pemimpin DAP Pulau Pinang ini tetapi cadangan dia tidak perlu usul percaya kepada Anwar, saya anggap sebagai nasihat yang baik.

“Selamatkan Kerajaan Perpaduan dahulu, tidak perlu kepada undi percaya atau tidak percaya kepada Anwar selaku Perdana Menteri,” katanya dalam video yang dimuat naik menerusi Facebook hari ini.

Zaid berpandangan, pada masa ini usul percaya dilihat tidak sesuai selagi Peguam Negara dan Speaker Dewan Rakyat tidak ditukar.

“Selagi ia belum selesai, tidak perlu ikut kelaziman ini. Selamatkan kerajaan dulu kerana ia tidak bertentangan dengan undang-undang.

“Sekarang ini, kita tidak tahu berapa lama kerajaan ini bertahan. Jadi, kita boleh buat kemudian selepas benar-benar dipastikan Kerajaan Perpaduan ini kukuh dan lakukan yang terbaik,” katanya.

Terdahulu, Ramkarpal dilaporkan berkata, tiada keperluan usul percaya terhadap Perdana Menteri keraan sudah jelas Anwar memperoleh majoriti besar melebihi 140 kerusi.

Katanya, PH kini diyakini mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen dengan sokongan daripada Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Warisan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here