PN tidak sombong, Marzuki dedah perkara sebenar

0
1

DAKWAAN Perikatan Nasional (PN) berlagak sombong dan enggan mengadakan rundingan bersama Barisan Nasional (BN) ketika mencari jalan penyelesaian dalam menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), adalah tidak benar sama sekali. 

Perkara itu didedahkan Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang menjelaskan secara kronologi peristiwa yang berlaku ketika Parlimen Tergantung itu dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini. 

Beliau berkata, BN mula menghubunginya pada tengah malam Isnin menerusi Setiausaha Agung (SUA) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. 

“Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung BN, menghantar pesanan whatsapp ringkas “salam” kepada saya pada jam 12 pagi, 21 November 2022. Saya tidak membaca pesanan ini kerana mungkin telah tertidur.

“Pada tengahari 21 November 2022, SUA BN menghubungi saya memberitahu bahawa wakil-wakil BN ingin berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin dan wakil-wakil PN di Hotel Seri Pacific. 

“Tujuannya ialah untuk mendengar apa tawaran PN kepada BN jika BN bersetuju membentuk kerajaan bersama PN. BN telah pun mendengar tawaran PH. 

“Saya bertanya SUA BN adakah hal mengenai kes mahkamah Presiden Umno akan dibincangkan. Beliau jawab tidak. Saya beritahu SUA BN yang saya akan merujuk perkara ini kepada Majlis Tertinggi PN,” katanya. 

Marzuki turut mendedahkan gesaan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang agar PN menyegerakan rundingan bersama BN. 

“Pada malam 21 November 2022, saya menerima panggilan telefon daripada Setiausaha Agung PAS yang menyampaikan pesanan Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) supaya perjumpaan dengan wakil-wakil BN disegerakan. 

“Lalu saya menghantar pesanan whatsapp kepada Tan Sri Muhyiddin menyampaikan pesanan TGHH. Beliau membaca mesej saya pada jam 6.30 pagi keesokannya dan membalas ringkas “Boleh jumpa”. 

“Saya terus menghantar mesej kepada SUA BN memaklumkan Tan Sri Muhyiddin sedia berjumpa pada tengahari. Perjumpaan ini diminta diadakan di “neutral ground”. Masa yang ditetapkan ialah jam 1.00 tengahari dan kemudiannya atas sebab tertentu ditunda ke jam 3.00 petang,” katanya. 

Bagaimanapun Marzuki menjelaskan pertemuan itu terpaksa ditangguhkan kerana Muhyiddin dititahkan menghadap Yang di Pertuan Agong ketika itu. 

“Lebih kurang jam 2.30 petang, Setiausaha Sulit Kanan Kepada YDPA menghubungi saya memaklumkan Tan Sri Muhyiddin dititah mengadap pada jam 4.15 petang di Istana Negara. Lalu saya menghubungi SUA BN memaklumkan pertemuan pada jam 3.00 petang terpaksa ditunda ke suatu masa lain,” katanya. 

Marzuki berkata, sepatutnya rundingan kedua-dua parti akan diadakan pada malam 22 November di Hotel St Regis, namun sekali lagi tidak berlaku kerana ‘miss communication’. 

“Pada petang itu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan 30 Ahli Dewan Rakyat BN dititah mengadap pada jam 10 pagi keesokannya. 

“Pada masa ini saya masih menaruh harapan bahawa Tan Sri Muhyiddin boleh mendapat sokongan majoriti sekiranya benar Ahli-Ahli Dewan Rakyat BN menyembah maklum kepada YDPA bahawa mereka sebenarnya menyokong Tan Sri Muhyiddin. 

“Pada malam 22 November 2022, telah diatur pertemuan antara wakil-wakil PN dan wakil-wakil BN di Hotel St Regis Kuala Lumpur. 

“Wakil-wakil PN yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin telah menunggu, tetapi wakil-wakil BN tidak kunjung tiba. Rupa-rupanya ada “miscommunication,” katanya. 

Bagaimanapun Marzuki menjelaskan, pertemuan kedua-dua parti dirancang sekali lagi untuk diadakan di tempat yang sama pada pukul 10 pagi esoknya. 

“Saya hubungi semula SUA BN pada malam itu dan dicadangkan pertemuan dengan wakil-wakil BN diadakan pada jam 10 pagi keesokannya. 

“Saya bertanya bukankah Ahli-Ahli Dewan Rakyat BN dititah mengadap pada masa yang sama? Saya diberitahu BN telah memohon supaya sesi mengadap tersebut ditangguhkan.

 pagi keesokannya, saya dimaklumkan oleh SUA BN bahawa perjumpaan dengan wakil-wakil BN terpaksa ditangguhkan ke jam 3.00 petang. Ini kerana beberapa wakil BN yang terlibat dalam perbincangan dengan PN dititah mengadap YDPA pada jam 10.00 pagi,” katanya. 

Menceritakan pertemuan yang berlaku di St Regis pada petang itu, Marzuki berkata, 

BN telah mengemukakan beberapa pernyataan hasrat berhubung cadangan kerjasama dengan PN. 

“Dalam perbincangan dengan wakil-wakil BN yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi BN (Pengerusi BN tidak hadir) pada petang 23 November 2022. 

“Pernyataan hasrat ini berkisar tentang jawatan-jawatan di dalam kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri, pelantikan senator, ahli-ahli lembaga pengarah GLC dan badan-badan berkanun serta beberapa perkara lain berhubung kerjasama dalam pilihan raya negeri.

“Tan Sri Muhyiddin memberi respon bahawa PN secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan jawatan-jawatan tersebut dengan beberapa cadangan balas,” katanya. 

Namun, Marzuki berkata, keputusan mesyuarat MKT Umno pada malam selepas perjumpaan St Regis telah memberi isyarat semuanya sudah berakhir untuk PN ke Putrajaya. 

“Namun, pada malam 23 November 2022, SUA Umno telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai keputusan MKT Umno yang bersetuju untuk membentuk Kerajaan Perpaduan tanpa PN

“Ini bermakna, Umno telah membuat keputusan untuk menyertai kerajaan yang diterajui oleh PH,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here