SEORANG penunggang motosikal maut selepas merempuh belakang sebuah lori penunda yang sedang berhenti di Kilometer 76.2, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, semalam.
Dalam kejadian 4.50 petang itu, mangsa Samad Cham, 48, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata siasatan awal polis mendapati lori tunda terbabit berhenti di bahu jalan.
“Lebih kurang 30 minit selepas itu, pemandu lori berkenaan tiba tiba mendengar dentuman kuat di bahagian belakang lori dan didapati sebuah motosikal dari arah Bentong melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya. – Malaysiapost



