ENAM lelaki warga Thailand dan Kemboja bersama sebuah bot pukat tunda Kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, selepas dipercayai menjalankan aktiviti menyeludup minyak.
Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd Nadzir, berkata bot nelayan tempatan terbabit ditahan di kedudukan 1.5 batu nautika barat daya Kuala Kedah pada jam 5.30 petang kelmarin.
Menurutnya, bot berkenaan ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan bot terbabit dipercayai dilakukan pengubahsuaian tangki minyak secara tidak sah dengan terdapat satu ruang asing ditambah di atas rumah bot dan ditutupi kayu bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Anggota penguatkuasa kemudian bertindak memeriksa ruang tersebut dan menemukan sebuah tangki tambahan jenis fiber yang telah diubahsuai dan mengandungi minyak diesel dengan anggaran 700 liter.
“Maritim Malaysia mengesyaki bot terbabit terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak disekitar perairan Kuala Kedah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua warga asing berkenaan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan berusia dalam lingkungan 30 hingga 61 tahun.

“Nilai anggaran minyak diesel yang cuba diseludup adalah bernilai RM1,505 dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kesemua yang ditahan berserta bot kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengusaha bot nelayan tempatan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan. – Malaysiapost

