CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai, Dr Mohamad Sofee Razak mencadangkan Barisan Nasional (BN) berkompromi sekali gus memberikan laluan mudah memenangkan parti beliau sebagai hadiah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, sebagai rakan gabungan dalam kerajaan perpaduan, kompromi BN dan PH bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai diperlukan kerana mereka berhadapan lawan yang sama iaitu Perikatan Nasional (PN).
“Saya jangkakan mungkin akan ada perbincangan di peringkat atasan dan diharap kompromi akan diberi kepada PH di Padang Serai.
“Sepanjang kempen, ramai pengundi bertanyakan soalan yang sama. Mereka mahu tahu siapa yang wajar dipilih selepas adanya pembentukan kerajaan perpaduan. Saya fikir, kita sama-sama berada dalam kerajaan dan adalah lebih baik kita menentang lawan yang sama,” katanya dipetik BuletinTV3, hari ini.
Bagi calon BN Sivaraj Chandran, pembentukan kerajaan perpaduan dilihat tidak memberikan sebarang kesan kepada PRU15 Parlimen Padang Serai.
Katanya, beliau belum menerima sebarang cadangan mengenai kompromi, serta berpandangan gerak kerja parti perlu diteruskan memandangkan PH dan BN sudah menamakan calon masing-masing bagi berhadapan pertembungan enam penjuru.
“Kita perlu bekerja seperti biasa dan fokus kepada pemantapan jentera, bagi melakukan penerangan kepada pengundi.
“Kita berhadapan satu gelombang yang besar dalam keputusan yang diterima pada 19 Nov lalu. Kedah mempunyai 13 wakil rakyat PN, dan seorang dari PH. BN perlu diberi peluang mewakili negeri ini di Dewan Rakyat,” katanya.
PRU15 Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru iaitu Dr Mohamad Sofee Razak (PH), Datuk Sivaraj Chandarn (BN), Azman Nasrudin (PN), Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Bakri Hashim (Warisan) dan K Sreanandha Rao (Bebas).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Disember ini sebagai hari mengundi. – Malaysiapost

