BEKAS Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Yazid mendakwa Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi Kerajaan Perpaduan, kerana perbicaraan kes mahkamah yang belum selesai.
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), itu mencadangkan nama Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melantik dua Timbalan Perdana Menteri, sedangkan membuat kenyataan mahu mengecilkan Kabinet.
“Perdana Menteri kata nak kecilkan Kabinet. Sudah itu.. kenapa ada dua TPM (Timbalan Perdana Menteri).
“Satu sudah cukup dari BN (Barisan Nasional)/Umno. Sementara itu, tolong lantik Timbalan Presiden Umno sebab Presiden Umno tidak selesai lagi kes mahkamah,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Terdahulu, Perdana Menteri memberi bayangan bahawa jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diberikan kepada BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau dalam sidang media berkata, ia kerana BN dan GPS adalah teras kekuatan kerajaan perpaduan pimpinannya.
Kata Anwar, memandangkan jawatan Perdana Menteri telah disandang Pakatan Harapan (PH) selaku komponen terbesar, jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diberikan kepada rakan gabungannya.
Sebelum ini, Mastura yang juga Pengerusi Sekretariat Profesional Wanita Umno mendakwa Ahmad Zahid serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno melanggar janji mengenai kuota calon daripada Wanita Umno untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mastura, antara beberapa nama dalam Kabinet sebelum ini yang digugurkan sebagai calon PRU15 lalu.
Tempat beliau di Kuala Kangsar digantikan Ketua Umno bahagian itu, Datuk Maslin Sham Razman, yang tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) pada PRU15. – Malaysiapost

