PENGERUSI Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad, mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Ucapan itu dibuat selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, semalam.
“Saya ucap tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10. Selamat maju jaya,” katanya ringkas menerusi ciapan Twitter.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong perkenan melantik Anwar yang merupakan Presiden PKR sebagai Perdana Menteri ke-10.
Ia selaras kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri berlangsung pada jam 5 petang semalam, di Istana Negara. – Malaysiapost

