Saran Muhyiddin, Hadi terima Kerajaan Perpaduan elak berpecah-belah

0
3

PENDAKWAH bebas, Abu Syafiq Rasyiq Alwi menegur Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas dua pemimpin itu menolak cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Teguran tersebut dibuat menerusi video berdurasi lebih empat minit yang dimuat naik di Facebook Abu Syafiq, hari ini.

Sebelum memulakan kata-kata, terlebih dahulu Abu Syafiq mengakui sangat menghormati dua tokoh tertinggi Perikatan Nasional (PN) itu, sekali gus memohon maaf atas teguran yang diberikan.

“Apabila Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya PN bersama dengan kerajaan perpaduan ini, terang-terang Muhyiddin dan Abdul Hadi tolak cadangan Agong.

“Seolah-olah menderhaka raja, ini masalah besar. Ini sepatutnya tidak boleh dipamerkan kepada pemimpin yang hebat seperti dua tokoh ini.

“Sedangkan Agong bertitah supaya membuat Kerajaan Perpaduan, minta bersatu tetapi dua tokoh ini menolak cadangan Agong,” katanya yang kini berada di Tanah Suci Mekah.

Abu Syafiq berkata, tindakan Muhyiddin dan Abdul Hadi meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukan Akuan Bersumpah (SD) bahawa Pengerusi Pahatan Harapan (PH) itu cukup majoriti sangat disesali.

Katanya, ia kerana tokoh politik tu masing-masing kelihatan mahu mempertikai titah Yang di-Pertuan Agong.

“Selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri kerajaan perpaduan, dua tokoh ini membuat sidang media meminta SD yang Anwar ada.

“Tindakan ini seperti mempertikaikan titah agong. Kami hormat kepada dua tokoh hebat ini tetapi jangan menderhaka kepada raja,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Abu Syafiq meminta PN bersatu dengan kerajaan perpaduan bagi mengelakkan perpecahan yang tidak disukai dalam Islam.

“Bukan bermakna jika berada di bawah Anwar tidak boleh menegur apa-apa tindakan Anwar. Rakyat sudah tidak mahu lihat berpecah belah.

“Pimpinlah kami rakyat yang lemah ini. Anda semua tokoh yang hebat, bersatu padulah memperbaiki kelemahah-kelemahan yang silam

“Semoga Malaysia jadi negara yang makmur. Salam dari bumi mekah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here