Penyokong, jentera PN diminta cekal teruskan perjuangan

0
1

AHLI dan penyokong Perikatan Nasional (PN) diminta untuk cekal dan ikhlas meneruskan perjuangan melalui wadah gabungan itu walau apa rintangan dan cabaran pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata kepimpinan tertinggi PN percaya bahawa penyokong serta jentera parti akan terus istiqamah berpegang teguh kepada asas perjuangan parti demi masa hadapan Malaysia yang lebih baik.

Menurutnya, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pimpinan tertinggi lain turut merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang telah mengundi dan memberikan sokongan kepada PN dalam PRU-15.

“Ucapan terima kasih tidak terhingga juga diucapkan khususnya kepada para petugas serta jentera parti PN seluruh negara yang bertungkus-lumus bagi kemenangan di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti.

“Bergerak ke hadapan, semua pihak perlu cekal dan ikhlas meneruskan perjuangan melalui wadah PN walau apa rintangan dan cabaran pasca PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pimpinan tertinggi PN juga mendoakan kesejahteraan semua pihak yang telah memberikan sokongan dan dokongan kepada PN.

“Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati perjuangan kita semua,” katanya.

Terdahulu PAS yang juga parti komponen PN, memaklumkan akan mempertimbangkan tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan memberitahu tawaran itu akan dibincangkan dalam masa terdekat bersama rakan-rakan komponen dalam PN yang lain.

Menurutnya, perkara itu juga perlu mengambil kira pandangan dan kesediaan rakyat khususnya pengundi yang memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada PAS dan PN dalam PRU-15 yang lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here