PDRM buat persiapan rapi menjelang final Piala Malaysia 2022

0
2

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat persiapan rapi dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata perlawanan yang dijadualkan jam 9 malam itu dijangka akan dihadiri seramai 80,000 penyokong kedua-dua pasukan dengan semua pintu masuk stadium dibuka seawal jam 5 petang.

“Bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin, pihak PDRM telah membuat persiapan rapi membabitkan pelbagai jabatan dan unit dalam PDRM.

“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh badan, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk dan juga selepas memasuki stadium,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara barang terlarang yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium adalah mercun, bunga api atau suar; topi keledar; pen laser; objek tajam; senjata; payung atau tongkat; botol air; power bank; pemetik api; dan rokok atau rokok elektronik.

Menurutnya, pada masa sama terdapat beberapa penutupan jalan disekitar stadium akan dilakukan sebelum dan selepas perlawanan.

“Untuk kelancaran lalu lintas orang ramai dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam ke stadium, mengelakkan melalui jalan sekitar stadium dan mematuhi arahan anggota polis yang bertugas.

“PDRM juga menasihati orang ramai agar memakai pelitup muka di tempat yang sesak bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penyokong agar menjaga tatasusila dengan tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sama ada semasa atau selepas perlawanan tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here