Megat Zulkarnain, Dr Shafei dilantik Ahli MKT Umno baharu

0
2

KETUA Umno Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah dan Ketua Umno Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dilantik sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang baharu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan mereka dilantik pada Mesyuarat MKT Umno yang berlangsung hampir empat jam pada Rabu lalu.

Beliau berkata, Megat Zulkarnain juga akan menggantikan Tan Sri Noh Omar sebagai Pengerusi Umno Selangor.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, menggantikan Datuk Othman Aziz.

“Mesyuarat MKT Umno pada Rabu lalu telah berlangsung selama hampir empat jam berakhir jam satu pagi, mesyuarat berjalan dalam suasana yang tenang bermula dengan sumpah kerahsiaan dua ahli yang baharu dilantik.

“Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberi ruang seluasnya untuk semua memberikan pandangan iaitu seramai 31 orang ahli telah berucap,” katanya menerusi ciapan Twitternya, hari ini.

Ahmad turut meluahkan kekesalan kerana beberapa perbincangan telah disalah tafsir dan disebarkan di media sosial.

“Adalah tidak wajar jika ada sesiapa ahli MKT melaporkan dalam media sosial apa jua petikan yang dibuat di luar konteks dan tidak pula betul. Ini melanggar tatasusila mesyuarat.

“Kenyataan media yang dikeluarkan atas nama saya telah dibacakan terlebih dahulu dalam mesyuarat itu untuk dipersetujui,” katanya.

Noh dan Othman meletak jawatan susulan prestasi buruk Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-15. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here