Penamaan calon Parlimen Padang Serai, DUN Tioman hari ini

0
1

PROSES penamaan calon bagi kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tioman, Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan semula hari ini.

Bakal calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya ini boleh menyerahkan kertas penamaan calon dalam tempoh sejam dari 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim, Kedah bagi Padang Serai.

Manakala, bagi DUN Tioman penyerahan kertas penamaan adalah di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, Pahang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, calon-calon yang telah sah dinamakan bagi kedua-dua kerusi berkenaan pada 5 November lalu, juga dikehendaki hadir dalam tempoh sama bagi tujuan menentukan susunan nama pada kertas undi.

“Bagi bakal-bakal calon baharu yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.

“SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT),” menurut SPR dalam satu kenyataan.

PRU-15 di dua bahagian terbabit ditangguhkan berikutan kematian calonnya sebelum hari mengundi iaitu M Karupaiya daripada Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli mewakili Perikatan Nasional (PN) untuk DUN Tioman.

SPR kemudian menetapkan hari ini sebagai penamaan calon dan pengundian awal pada 3 Disember dengan tempoh berkempen selama 13 hari dan hari pengundian pada 7 Disember ini.

Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 November lepas dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan manakala Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian, pada 19 November lalu.

Calon lain yang telah disahkan di kerusi Padang Serai sebelum ini adalah Hamzah Abd Rahman (Pejuang-Putra), Datuk C Sivaraajh (BN-MIC), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), Datuk Azman Nasrudin (PN-Bersatu) dan calon Bebas Sreanandha Rao.

Calon DUN Tioman pula membabitkan, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH-Amanah) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN-UMNO). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here