WALAUPUN gagal membentuk kerajaan, beberapa Ahli Parlimen PAS reda dan meminta semua penyokongnya supaya ‘move on’ dan menerima semua keputusan dengan hati terbuka.
Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid berkata, beliau reda dengan ketentuan Allah, namun perjuangan Islam tidak akan berhenti.
“Setelah berikhtiar, kita reda. Move on,” katanya.
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahudin Hashim, mereka sudah berusaha, Insya-Allah pasti ada hikmah.
“Kita reda dengan segala ketentuan Allah SWT,” katanya.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary pula meminta semua pihak tidak berputus asa dan berduka.
“Allah itu maha pemurah, rahmat Allah itu sangat luas. Jangan putus asa dan berduka. Setiap insan ada limpahan kasih sayang Allah padanya.
“Allah tidak sekali-kali menganiaya hambanya dan membiarkan teraniaya,” katanya.
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, keputusan hari ini bukanlah pengakhirannya kerana esok masih ada.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata: “Daulat Tuanku”.
Hari ini, Yang di-Pertuan Agong perkenan melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Ia sekali gus menyaksikan kerajaan PH berjaya membentuk kerajaan selepas mendapat sokongan daripada gabungan parti lain – Malaysiapost

