Anwar PM10: Penyokong dilarang lakukan provokasi

0
1

SEMPENA Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim yang dijadualkan di Istana Negara jam 5 petang ini, orang ramai terutama penyokong parti politik diminta tidak menimbulkan sebarang isu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata tindakan tegas akan diambil bagi mana-mana penyokong parti politik yang melakukan sebarang provokasi atau menimbulkan sebarang isu termasuk perkauman dan agama.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menasihati orang ramai khasnya penyokong-penyokong parti politik untuk sentiasa mematuhi undang-undang bagi memastikan proses demokrasi dan perlantikan ini berjalan dengan lancar.

“Turut dinasihati untuk tidak memuat naik sebarang hantaran atau apa jua sisipan di media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran atau salah faham pada masyarakat umum,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta tindakan yang menyalahi undang-undang.

“Sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585, Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Susulan itu Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri dijadualkan pada jam 5 petang ini di Istana Negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here