PARTI Demokratik Progresif (PDP) mahu pembentukan kerajaan diselesaikan dahulu sebelum memutuskan calon Perdana Menteri.
Presidennya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan sehingga kini belum ada sebarang perbincangan antara Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menentukan calon Perdana Menteri pilihan mereka.
“Biar Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) selesaikan masalah mereka di sana dahulu,” katanya.
Ia sekali gus menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai gabungan GPS+BN+PN+GRS.
Menurut King Sing, ketika ini keadaan masih kelam kabut berikutan tiada mana-mana parti yang mempunyai angka yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
“Sekiranya BN tidak mahu bekerjasama dengan PN, PN tetap tidak akan mampu membentuk kerajaan walaupun dengan sokongan GPS dan ianya menjadikan PN tidak boleh menjadi kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menegaskan untuk memberi laluan kepada kesemua parti menyelesaikan masalah tersebut. – Malaysiapost

