Pulau Pinang sedia PRN serentak dengan 5 negeri

0
1

KERAJAAN Pulau Pinang bersedia mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak dengan lima negeri yang masih belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka.

Selain Pulau Pinang, negeri lain ialah Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata bagaimanapun ia bergantung kepada persetujuan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Saya percaya isu pembubaran DUN ini akan diserahkan kepada kepemimpinan PH sebab ia juga membabitkan dua lagi negeri ditadbir PH iaitu Selangor dan Negeri Sembilan.

“Bagi Pulau Pinang saya akan bawa kepada Majlis Presiden PH untuk mempertimbangkan tempoh paling sesuai,” katanya pada sidang media di DUN Pulau Pinang, hari ini.

Kon Yeow berkata, DUN Pulau Pinang dijangka dibubarkan antara Mei hingga Julai depan atau terbubar sendiri bagi memberi laluan kepada PRN tertakluk pada ketetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Bagi Pulau Pinang mungkin awal Mei, Jun atau Julai pun boleh jadi. 2 Ogos (2023) adalah tempoh akhir kalau tidak bubar pun ia akan terbubar sendiri sebab sudah genap lima tahun,” katanya.

Beliau juga percaya negeri lain khasnya di bawah pentadbiran PAS mempunyai pertimbangan tersendiri berhubung pembubaran DUN di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Tempoh tamat penggal DUN Pulau Pinang berakhir pada Ogos 2023 jika dikira berdasarkan hari pertama persidangan DUN pada 3 Ogos 2018 selepas PRU14. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here