Mesyuarat Ahli Parlimen BN selesai, kenyataan rasmi akan dikeluarkan

0
1

AHLI Parlimen Barisan Nasional (BN) selesai bermesyuarat berhubung isu pembentukan kerajaan dan pencalonan Perdana Menteri Ke-10 sama ada menyokong Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau menjadi pembangkang di Dewan Rakyat.

Beberapa Ahli Parlimen yang ditemui bagaimanapun menutup mulut ketika ditanya jika ada calon Perdana Menteri diputuskan untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum jam 2 petang ini.

Presiden MCA yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang beredar meninggalkan Menara Dato’ Onn dengan tidak memberi sebarang kenyataan kepada media dan terus menaiki kenderaannya lalu beredar.

Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng, ketika ditanya sama ada beliau menandatangani surat akuan (SD) menyokong mana-mana nama Ahli Parlimen sebagai calon Perdana Menteri, turut mengunci mulut.

Terdahulu, Setiausaha Agong MCA, Datuk Choon Sin Woon berkata, mesyuarat sudah berakhir dan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan BN hari ini.

Pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri Ke-10 dijangka diputuskan hari ini, terarah kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PH dan PN adalah dua blok parti politik yang mendapat jumlah kerusi Dewan Rakyat tertinggi pada PRU15, Sabtu lalu. PH memperoleh 82 kerusi, manakala PN 73 kerusi, namun tidak cukup untuk majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Kedua-dua blok parti itu memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk BN yang menang 30 kerusi bagi mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Semalam, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melanjutkan tempoh masa selama 24 jam lagi kepada parti politik untuk membentuk kerajaan yang sepatutnya sehingga jam 2 petang semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here