
SITUASI Parlimen tergantung susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu, dijangka menemui penyelesaian beberapa jam lagi.
Ia susulan beberapa Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) dikatakan bertemu kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat Umno di Menara Dato Onn, di Kuala Lumpur pagi ini.
Pertemuan itu dipercayai bagi memuktamadkan kerjasama di antara kedua-dua gabungan itu, dengan Ahli Parlimen BN akan menandatangani akuan bersumpah menyokong PH membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.
Kerajaan baharu yang disebut-sebut itu dipercayai menggabungkan 82 kerusi dimenangi PH bersama 26 daripada 30 wakil BN, diikuti Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan Parti Bangsa Malaysia, masing-masing satu kerusi.
Situasi politik semasa negara menjadi topik hangat selepas kepemimpinan BN dan PH berbincang di sebuah hotel di ibu negara, semalam.
Bagaimanapun, sesi pertemuan itu gagal mencapai kata sepakat selepas beberapa wakil rakyat dari BN menentang kerjasama berkenaan.
Antara nama yang didakwa ‘berkeras’ adalah Bendahari Agung BN yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, BN akan mengemuka akuan bersumpah mewakili Ahli Parlimen gabungan itu bagi menamakan calon perdana menteri kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Beliau berkata, 26 daripada 30 yang memenangi PRU15 akan menyokong keputusan Dewan Tertinggi BN untuk bergabung dengan mana-mana parti.
Antara pemimpin yang turut menyertai sidang media itu ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Pertemuan itu turut disahkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang medianya, yang memaklumkan berunding dengan tujuh wakil BN bagi mewujudkan kerajaan perpaduan yang stabil.
Presiden PKR itu mengakui berpuas hati dalam rundingan yang membincangkan keperluan mewujudkan kerajaan perpaduan, bersifat inklusif, selain menyelesaikan soal ekonomi.
Anwar dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah 2 petang ini.
Spekulasi kerajaan penjajaran baharu BN-PH dikuatkan lagi susulan pembentukan kerajaan Perak yang menyaksikan pimpinan kedua-dua gabungan di peringkat negeri bersetuju menjalinkan kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri.
Ia selepas disahkan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad sudah mengangkat sumpah bagi jawatan Menteri Besar Perak yang baharu, biarpun gabungan itu hanya memenangi sembilan daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Penjajaran sama juga dijangka berlaku di Pahang apabila Pengerusi DAP negeri, Leong Ngah Ngah mengesahkan PH bersetuju bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri yang tergantung selepas PRU15. – Malaysiapost
