Saarani penipu besar – Ahmad Faizal

0
2

PERIKATAN Nasional (PN) Perak menafikan dakwaan tidak mahu berjumpa dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Saarani Mohamad dalam usaha membentuk kerajaan negeri pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PN Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata kenyataan Saarani mendakwa PN tidak mahu berjumpa dengannya dan tidak bersetuju memberi apa-apa peranan kepada BN dalam pembentukan Kerajaan Negeri Perak adalah satu penipuan besar.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu, berkata hakikat sebenarnya beliau telah bertemu dengan Menteri Besar Perak itu pada Ahad lalu di Kuala Lumpur.

“Pada perjumpaan yang turut dihadiri oleh Datuk Zainol Fadzi Paharudin, kami telah berunding tentang kemungkinan kerjasama PN dan BN menubuhkan Kerajaan di negeri Perak.

“Dalam perjumpaan yang sama, beliau juga turut menyatakan hasrat untuk kekal dicadangkan sebagai Menteri Besar Perak dan perkara itu adalah sesuatu yang amat penting,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, beliau juga telah menyatakan kebimbangan dengan keadaan di mana Kerajaan Negeri Perak belum membentangkan belanjawan negeri untuk tahun 2023 dan kemelut politik mesti dirungkai segera demi kepentingan rakyat.

“Saya tegaskan, PN berlapang dada dan terbuka untuk bekerjasama namun, pihak beliau bertegas untuk PN menawarkan tawaran jawatan-jawatan penting dalam Kerajaan Negeri.

“Beliau memohon untuk merujuk kepada kepimpinan Umno sebelum membuat apa-apa persetujuan.

“Namun, pada hari ini beliau dan kepimpinan Umno telah menyelamatkan jawatan Menteri Besar yang dipegangnya sambil menipu perwakilan Perhimpunan Agung Umno yang lalu dengan slogan ‘No DAP!’.” katanya.

Beliau menegaskan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Perak adalah amat besar dan seharusnya sumpah setia jawatan yang dibacakan dengan kalimah suci tidak disusuli dengan penipuan kepada rakyat jelata. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here