PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mula tiba untuk bermesyuarat di Hotel Seri Pacific, pagi ini.
Pemimpin PH yang dilihat hadir ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Timbalannya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
BN pula, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Mereka dijangka mengadakan mesyuarat hari ini mengenai penubuhan kerajaan baru.
Semalam, Istana Negara memaklumkan gabungan yang memperoleh majoriti perlu menyerahkan nama calon Perdana Menteri sebelum jam 2 petang ini.

Sementara itu, Ismail Sabri yang ditemui media berkata, beliau tidak mengetahui apa yang akan dibincangkan dalam mesyuarat pagi ini.
“Sepatutnya ada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno semalam, tetapi dibatalkan.
“Malam tadi saya menerima mesej melalui telefon ada mesyuarat pagi ini. Saya pun tak tahu tentang apa,” katanya ketika ditemui media.
Diminta mengulas dakwaan Ahmad Zahid sudah mengadakan rundingan dengan PH lebih awal, katanya, Ahmad Zahid tidak boleh membuat sebarang keputusan bagi pihak parti.
Beliau menegaskan hanya Majlis Tertinggi BN yang boleh membuat keputusan untuk menyokong mana-mana gabungan.
“Parti yang akan putuskan bukan Ahmad Zahid. Presiden tidak ada hak, biro politik juga tidak ada ‘locus standi’ bercakap bagi pihak parti,” katanya.
Mengenai desakan supaya Ahmad Zahid berundur, Ismail Sabri berkata:”undur tak undur kita bincang kemudian”. – Malaysiapost

