UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak perlu takut dimarahi oleh rakyat jika menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Perkara itu ditegaskan Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dipercayai susulan perbincangan kepimpinan PH dan BN bagi membentuk kerajaan Persekutuan.
Malah katanya, orang Cina dan India juga tidak lagi menyokong BN maka gabungan itu tidak perlu bimbang dalam membuat apa juga keputusan.
“Melayu pun sudah tak sokong Umno. Cina pun sudah tak sokong MCA. India pun sudah tak sokong MIC.
“Habis apa yang kita takut kena marah bila disokong oleh PH,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
BN dilaporkan akan membuat keputusan berhubung kerjasama dengan PH berhubung pembentukan kerajaan Persekutuan esok.
Bagaimanapun di Perak, kerajaan negeri telah dibentuk menerusi kerjasama PH dan BN dengan Datuk Seri Saarani Mohamad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar petang tadi.
Kerajaan Pahang juga dijangka akan dibentuk menerusi kerjasama BN dan PH. – Malaysiapost

