BARISAN Nasional (BN) wajar menjadi pembangkang kerana jika bergabung sebagai kerajaan menyebabkan parti akan dijadikan ‘bahan’ untuk lima tahun akan datang.
Bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, berkata ia juga akan hanya membawa asbab dan motivasi untuk memastikan BN dibenam lebih dalam pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Akan sukar untuk merasionalkan kepada rakyat bagaimana satu parti yang kalah boleh ada dalam kerajaan sedangkan parti yang dapat 70 atau 80 kerusi jadi pembangkang
“Lain ceritanya kalau kita ada pakatan prapilihan raya. Tapi tidak. Tiada ‘moral standing’ untuk kita terbabit dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Shahril, kali ini tiada pandemik atau perpecahan dalaman pihak yang menang pilihan raya, yang menuntut kita menjadi ‘penyelamat’ apa-apa keadaan.
“Tiada hujah atau justifikasi ala Mac 2020,” katanya.
Shahril yang menuntut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan berkata, BN harus fokus kepada agenda pembaharuan dan muhasabah supaya dapat bangkit daripada kekalahan besar, bukan terganggu dengan menjadi sebahagian daripada kerajaan dan perlu menjustifikasi pembabitannya selama lima tahun.
Jelasnya, BN sudah lama ‘berperang’ dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), terbukti berdepan situasi dalaman yang tidak stabil ketika berada dalam kerajaan campuran bersama PN, sebelum PRU15.
“Untuk sekarang, terus bersama dengan mana-mana pihak amat janggal. Mungkin untuk mereka kurang janggal kerana kalau kita terbabit, mereka akan jadi peneraju dan kita sekadar pelengkap.
“Tapi kita buat cara kita. Kita kena ada ‘kelas’. Kita kalah, mereka menang. Kita beri tumpuan kepada pembinaan semula parti ini,” katanya, yang tewas di kerusi Parlimen Alor Gajah.
Shahril berkata, jika wujud kemaslahatan lebih besar, yang menuntut BN membantu mana-mana parti untuk mencukupkan majoriti 112 kerusi Parlimen, bagi membolehkan seorang Perdana Menteri dilantik secara sah mengikut Perlembagaan Persekutuan, ia mesti dilakukan dengan prinsip yang jelas.
Ini termasuk, BN menjadi pembangkang dan bukan kerajaan, selain hanya membantu secara ‘teknikal’ supaya lantikan Perdana Menteri dapat dilaksanakan.
“Kita hanya bantu meluluskan rang undang-undang (RUU) kewangan, terutama Belanjawan dengan syarat yang munasabah seperti pandangan kita diambil kira, supaya kerajaan tidak ada risiko runtuh setiap tahun.
“Bagaimanapun, kita bebas mengkritik dan memainkan peranan sebagai pembangkang. Kalau atas apa-apa sebab kita tidak setuju dengan Belanjawan, boleh saja berkecuali dan Belanjawan tetap lulus tanpa sokongan aktif BN,” katanya.
Bagi RUU lain, katanya, BN dan Ahli Parlimennya bebas menyokong atau membangkang mengikut kesesuaian dan keputusan parti.- Malaysiapost

