BARISAN Nasional (BN) perlu kekal sebagai pembangkang yang bermaruah dengan membiarkan Perikatan Nasional (PN) bersama Pakatan Harapan (PH).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, berkata perkara semak dan imbang (check and balance) dalam Parlimen amat penting demi memastikan rakyat dan negara sejahtera.
“Saya berpendirian dengan menjadi pembangkang tanpa menyertai kerajaan adalah satu kemuliaan besar bagi BN.
“Kerana mandat rakyat membuktikan penolakan besar-besaran Umno dan BN. Maka kita perlu menghormati demokrasi dan pilihan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya lagi, BN seharusnya memanfaatkan masa lima tahun ini untuk memperbaiki imej parti dan bangkit semula dengan lebih bermaruah.
“Namun jika ada kemudaratan besar sehingga ‘hung Parlimen’ dan tidak dapat membentuk kerajaan, maka para pemimpin berbincanglah dan berijtihadlah
“Termasuk mengenalpasti dan analisa maslahah atau mudarat sebelum keperluan bekerjasama dgn mana-mana parti (dibuat). Pastikan kita tidak diletakkan dalam situasi yang mampu menghancurkan parti.
“Pastikan apa jua tawaran yang diberikan adalah ‘menang-menang’ dan menepati kepentingan rakyat jua negara. Jangan berpecah sesama kita dalam membuat keputusan besar seperti ini,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, BN harus menolak kerjasama dengan mana-mana pihak yang menzahirkan anti-Islam melainkan kesungguhan mereka untuk benar-benar berubah.
“Jadilah ‘negotiator’ yang berprinsip. Jangan semata-mata kerana tawaran kedudukan juga jawatan, kita mudah-mudah menyerahkan maruah diri,” katanya.
Fathul Bari juga mengingatkan mana-mana pihak yang ingin menjemput BN, supaya menghormati parti berkenaan.
“Jangan terlalu sombong dan bongkak. Dan BN perlu bersedia menarik diri pada bila-bila masa sekiranya janji-jani tidak ditunaikan,” katanya. – Malaysiapost

