PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin pihaknya dapat membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional (BN)
Anwar berkata, beliau berpuas hati dengan pertemuan membabitkan beberapa wakil daripada BN bagi membincangkan mengenai pembentukan kerajaan baharu.
“Kita telah mencapai persetujuan bersama untuk membentuk kerajaan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Bagaimanapun Anwar menjelaskan, rundingan bersama dengan BN belum dimuktamadkan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau adalah satu-satunya calon Perdana Menteri kerana BN tidak mencadangkan sebarang nama ketika perbincangan.
Ditanya adakah beliau akan melantik seorang Timbalan Perdana Menteri daripada BN, Anwar berkata, ia hanya akan diputuskan selepas beliau menjadi Perdana Menteri.
Terdahulu, Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melanjutkan proses bagi ketua parti dan gabungan politik untuk menghantar persepakatan pembentukan kerajaan dan nama calon Perdana Menteri, sehingga jam 2 petang esok.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, titah perkenan Seri Paduka itu susulan permohonan daripada ketua parti dan gabungan yang diterima Istana Negara hari ini.
Mengulas mengenai Kerajaan Perak, Anwar berkata, beliau menyambut baik perkembangan di negeri itu, selepas Sultan Perak gembira dengan jumlah ADUN yang dipersembahkan oleh BN dan PH bagi membentuk kerajaan negeri. – Malaysiapost

